Friday, November 27, 2009

taksonomi tu apa?

Menurut Lawrence (1951), taksonomi adalah satu disiplin sains yang melibatkan proses pengecaman, penamaan, pengelasan sesuatu objek. Proses pengecaman adalah proses penentuan takson yang hampir sama atau sama dengan objek lain yang telah diketahui unsurnya. Manakala, proses, penamaan menekankan kepada penentuan nama bagi sesuatu tumbuhan dengan nama yang betul berdasarkan sistem penamaan yang telah ditetapkan. Dan proses pengelasan adalah proses yang menempatkan individu atau kumpulan sesuatu tumbuhan dalam kumpulan atau kategorinya dengan mengikut penetapan dalam sistem penamaan.

Taksonomi adalah satu bidang yang amat penting untuk mempelajari kegunaan dan nama bagi setiap tumbuhan di bumi berdasarkan keafinan, taburan, ciri habitat mereka dan korelasi dengan kajian semasa. Taksonomi juga penting untuk mengumpul segala pengetahuan ini untuk pembangunan pada masa akan datang. Dan juga untuk mempamerkan kepelbagaian tumbuhan dunia dan perkaitan dengan proses evolusi yang berlaku. Oleh itu, di atas kepentingan ini, kajian taksonomi akan dilakukan ke atas Gonystylus yang sekian lama tidak dijalankan kajian taksonomi ke atasnya iaitu yang terakhir oleh Whitmore (1972).

Taksonomi tumbuhan telah lama dikenali sebagai sains kepada pengecaman, penamaan dan pengelasan tumbuhan (lawrence 1951). Memandangkan pengecaman dan penamaan begitu penting kerana menjadi syarat utama untuk pengelasan, taksonomi selalau ditakrifkan sebagai sains yang mengkaji pengelasan, termasuk kepada asas, prinsip, peraturan dan kaedahnya (Davis & Heywood 1963). Akan tetapi, Stace (1980) menyatakan bahawa taksonomi bertujuan untuk membantu orang yang bukan taksonomi. Prinsipnya dan praktikalnya datang di bawah pemeriksaan oleh mereka yang tidak pakar yang selalu melibatkan sains. Justeru, ketidakfahaman hasil penggunaan taksonomi ini menyebabkan banyak ketidakpercayaan dan kritikan yang ditujukan kepada taksonomi.

Justeru, pemilihan ciri taksonomi ini banyak menyumbangkan data dalam sistem pengelasan. Ciri taksonomi ini boleh ditakrifkan sebagai sebarang sifat semulajadi yang merujuk kepada bentuk, struktur, fisiologi atau kelakuan yang dipertimbangkan secara berasingan daripada organisma keseluruhan bagi tujuan tertentu. Misalnya, untuk perbandingan, pengecaman dan pentafsiran. Ciri boleh dikategori sebagai baik atau tidak baik bagi tujuan tertentu. Ciri baik ialah ciri yang tidak tertakluk kepada variasi yang luas dalam sampel yang dikaji, dan tidak mudah diubahsuai oleh faktor persekitaran dan mempunyai asas genetik yang tidak mudah berubah (Heywood 1976).

Ciri taksonomi yang paling mudah untuk dilihat oleh mata kasar ialah ciri morfologi. Ahli taksonomi tumbuhan awal amat bergantung kepada ciri morfologi untuk mengelaskan tumbuhan yang dihantar kepada mereka dari seluruh dunia. Ia banyak membantu dalam semua aras hierarki taksonomi daripada varieti kepada divisi. Hasil ini telah menyebabkan sistem pengelasan tumbuhan berbunga berkembang apabila pekerja banyak menggunakan data morfologi. Oleh itu, ciri morfologi adalah asas bagi segala pengelasan hari ini meskipun ia dianggap lapuk oleh sesetengah pihak (Stuessy 1990).

Anatomi tumbuhan ialah kajian mengenai struktur dan ciri dalaman tumbuhan yang tidak boleh dilihat dengan mata kasar (Metcalfe & Chalk 1957). Bidang ini juga boleh digunakan untuk pengelasan kepada genus atau spesies. Pengecaman spesies dengan menggunakan ciri anatomi amat penting kerana dapat digunakan untuk menentukan identiti botani bagi produk komersil seperti bahan industri makanan dan tumbuhan ubatan (Metcalfe & Chalk 1957). Beberapa kajian sistematik telah dianggap gagal kerana tidak menggunakan data anatomi sebagai sokongan (Carlquist 1961). Sifat anatomi digunakan secara meluas dalam sistematik untuk pengecaman bagi menempatkan kumpulan anomali dalam kedudukan yang memuaskan dalam pengelasan, dan untuk menentukan pola perkaitan yang mungkin menjadi kabur oleh penumpuan superfisial dalam ciri morfologi (Heywood 1976).

Spesimen tumbuhan yang dikutip di lapangan akan dikaji menerusi ciri-ciri taksonomi dan seterusnya disimpan di dalam herbarium. Herbarium adalah tempat di mana koleksi spesimen tumbuhan yang selalunya telah dikeringkan dan ditekan, disusun dalam pengelasan yang diterima dan sesuai untuk menjadi bahan rujukan dan kajian saintifik (Lawrence 1951). Penyimpanan spesimen tumbuhan amat penting untuk rujukan generasi akan datang dan data ini juga boleh digunakan untuk tujuan taksonomi dan sistematik tumbuhan.

kajian tesisku

Suatu kajian taksonomi akan dijalankan ke atas genus Gonystylus di Semenanjung Malaysia. Daripada kajian ini, sebanyak 7 spesies Gonystylus akan dikaji iaitu

  • G. affinis,
  • G. bancanus,
  • G. confusus,
  • G. maingayi,
  • G. macrophyllus,
  • G. acuminatus,
  • G. brunnescens.

Objektif kajian ini ialah untuk membantu membuat kekunci pengecaman bagi genus Gonystylus.

Kajian herbarium, pengambilan sampel hidup dan kajian anatomi serta morfologi akan dilaksanakan.

Tambahan lagi, kajian anatomi akan dijalankan ke atas keratan rentas daun dengan menggunakan mikrotom gelongsor ke atas ketujuh-tujuh spesies untuk menentukan batasan antara spesies.

Dijangka daripada kajian, terdapat tujuh spesies di Semenanjung Malaysia yang dapat dibezakan berdasarkan struktur morfologi dan anatomi daun.

botani bidangku

salam perkenalan.
apalah aku ni banyak2 blog.
hehe.. blog ni khusus untuk diriku saja.
anda tak baca pun takpe..
sebab ini untuk aku aplikasi apa yang aku pelajari.
iA, aku dapat mantapkan ilmuku dengan blog ini.
amiin